Mari Berselawat Setiap Hari

اللهم صلى على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه وسلم

Ya Allah,limpahkanlah rahmat ke atas Muhammad

Wednesday, June 13, 2012

Love Story

Hmm..nak start dari mana ye? Semuanya bermula dengan Yahoo Messenger...

Pada suatu malam yang hening, ketika saya sedang sibuk study (ewah), tiba-tiba dapat satu mesej dari YM yang memaksa saya untuk menerima dia dalam senarai kawan alam maya. Bila saja membaca namanya, saya tersentak seketika. Kamal? penggali kubur tu ke?,.. monolog dalaman.
Saya kenal dia sejak zaman sekolah lagi. Kami sama-sama bersekolah di SM Teknik Gombak tapi dia tak kenal saya. Saya? mestilah kenal sebab dia agak famous tapi tak capub (cari publisiti -- ayat budak asrama). Dia merupakan senior saya; seorang pengawas, pengerusi surau, Biro agama dan juga penggali kubur.eh?

Walaupun dia agak famous, budak baik dan juga hensem, saya tak pernah nak rasa suka atau minat pada dia. Masa tu saya minat kawan dia hahaha. Sekarang dah kantoi. Maafkan lah isterimu ini sayang kerana membuat awak jeles :P Kami tak pernah bercakap atau bertentang mata di sekolah dulu sehingga lah kes YM tersebut berlaku kira-kira 3 tahun lepas...

Salam perkenalan dihulur oleh si dia. Waktu itu saya memang sangat redha dengan apa saja yang akan berlaku dalam hidup kerana putus cinta. Oh cerita lama lupakan saja. Kami pon berchatting sampai pukul 4 pagi tapi dalam hati ni masih tak percaya apa yang berlaku. Kebetulan, dia tinggal dekat dengan rumah mak saudara dan sebab itulah saya tahu cerita tentang dia kerja gali kubur masa tunggu keputusan SPM. Oh, kecil betul dunia ini. Saya masih ingat, selepas kami selesai ber-ym, saya terus ambil wudu' dan buat solat hajat. Ye, solat hajat adalah kunci kepada hubungan kami yang seterusnya. 

Kerana Allah itu Maha Baik, Dia telah memberikan sedikit ujian kepada saya supaya saya kembali mendahulukan-Nya walau dalam apa saja keputusan atau jalan yang saya pilih. Saya akan selalu menunggu dia mulakan bicara maya dahulu. Jika tidak, saya tak akan sapa dia sebab pada fikiran saya, biarlah lelaki yang mulakan dulu. Ye, setiap kali dia on ym, dialah yang akan mulakan perbualan dan dari situ saya dapat rasakan jawapan kepada solat hajat saya.

Petang Sabtu - 31 Oktober 2009. Entry semanis kurma yang sangat manis.

Entry susulan - 12 November 2009. Ini permulaan kepada suatu hubungan yang serius. Pada tarikh itulah, pertama kali kami bertemu ditemani oleh sahabatku, Nurul Alia. Saya mahu dia tengok bagaimana rupa fizikal saya dan barulah hubungan ini boleh dipanjangkan. Masya-Allah, pertemuan yang singkat namun memberikan kenangan yang cukup hebat pada petang itu. Malamnya pula, dia telah menyatakan kesudiannya untuk menerima saya dalam hidupnya. Alhamdulillah.

Selamat pengantin baru...

Sepanjang perkenalan ini, banyak yang terjadi. Kami pada mulanya rancang nak bernikah selepas itu namun dihalang oleh keluarga. Bukan sebab mereka tak restu, tapi sebab kami masih muda. Lagi pula masing-masing anak sulung. Tanggungjawab anak sulung, memang sangat berat. Apa yang boleh kami buat, adalah bersabar dan cuba buktikan yang kami sudah layak untuk pikul komitmen berumahtangga.

Kadang-kadang hubungan ni berjalan dengan baik, seronok, gembira...macam entry suara sedap boleh buat gugur jantung ni. Kadang-kadang rasa tak best pon ada sebab suka sangat tanya soalan pelik-pelik macam ni ; jodoh pertemuan ajal maut .

Bilaku tercipta dari tulang rusukmu...


Apa-apa pon, dialah yang selalu berada disisi saya waktu susah dan senang. Masa dapat panggilan dari Pakteh berkenaan arwah ayah pada pukul 3pagi ramadhan lepas, dialah orang pertama yang saya call sebab tak tahu nak minta tolong dekat siapa. Ajaibnya, dia pon terjaga dari tidur pada masa yang sama saya sedang perlukan dia. Ya Allah! Saya tahu dia bukan orang yang mudah terjaga dari tidur. Mungkin kami ada telepati? :')

Dia ambil emergency leave semata-mata untuk ringankan beban saya . Dialah yang drive kereta bawa saya, Amin dan Adib ke hospital. Dia yang drive ke kampung Jelebu sama-sam iringi jenazah arwah ayah untuk disemadikan di sana. Dia yang berdiri solat jenazah untuk ayah saya. Dia yang bertungkus lumus sama-sama membantu gali liang lahad untuk ayah saya. Dia yang banyak sabarkan saya dan selalu nasihat sedekahkan ayat suci banyak-banyak untuk arwah ayah. Semua itu sudah cukup membuatkan diri dan hati saya tetap pada dia. Saya tahu dia cukup terkilan bila ayah pergi. Dia hanya sempat berjumpa ayah 2-3 kali sahaja. Kali terakhir adalah pada hari konvokesyen saya.


Mr. Right sudah ada di depan mata. Apa lagi yang saya mahu?

Kini, saya telah sah menjadi suri hidupnya. Saya tahu dia ada ramai peminat disebabkan oleh banyak perkara. Antaranya, rupa, budi pekerti  dan sifat yang baik. Saya kenal suami saya dan saya tahu dialah yang terbaik untuk saya. Saya, Nur Adibah binti Ahmad Saifuddin adalah yang terbaik untuk Mohd Kamal bin Othman.

Sayang, I love you sampai syurga.

Thursday, June 7, 2012

Percayalah Isteriku...

Alhamdulillah...selesai sudah semuanya. Hanya dengan sekali lafaz, aku sah menjadi isteri kepada Mohd Kamal bin Othman. Perasaan tak percaya dah jadik 'orang rumah' masih berleluasa di sanubari ini. Susah sangat nak percaya tapi kata sang suami, "Percayalah isteriku....", 

Aku masih menunggu gambar daripada adik yang tengah busy exam. Terima kasih adik-adikku yang banyaaaaaakk sangat tolong masa majlis kakak tunggal mereka ini. Siap bawak 3 buah kereta yang penuh dengan kawan-kawan untuk cuci pinggan! Thanks budak-budak UMT!

OK lah, nanti update lagi. InsyaAllah..
Lagipun bukan ada orang baca pon hehehe

Bersama Atok..pengganti arwah ayah sebagai waliku..

Thursday, May 3, 2012

Teaser Baju Nikah

Alhamdulillah segala dokumen berkaitan nikah telah selamat dihantar Isnin lepas kat pejabat agama daerah Besut, Terengganu. Dah boleh nikah? 30 hari lagi insyaAllah...

Nak share sikit gamba baju nikah aku :)

Baju ni diinspirasikan daripada jubah yang pernah dibelikan oleh encik tunang kira-kira 2 tahun lalu..


Serius tak sabar nak pakai baju ni!


Wednesday, March 28, 2012

Bridezilla mood : ON!

Semalam aku ponteng kerja.Heh.Best betul duduk rumah tapi sunyi sebab home alone.Perasaan rindu pada mak membuak-buak sampai rasa stress betullah dengan kerja.Rasa macam nak amek tindakan drastik je;berhenti kerja,balik kampung.wahh!

Kalaulah ada kekuatan nak buat macam tu...

Nak buat catatan sket pasal persiapan kahwin.Auww,best betol rasa!Baju nikah dah siap. Lengkap dengan veil dan tudung. Tak sabar betol nak pakai baju tu nanti siap dengan mekap dan bunga tangan oh! Memang selalu berangan la sejak baju nikah tu siap hehehe. Maaf la,orang yang duduk sorang ni memanglah begitu. Pantang ada masa lapang, berangan je aku ni. Baju nikah ikut design macam jubah yang pernah tunang bagi masa raya 2tahun lepas.

Selain itu(macam rumusan pulak dah ahahaha), semalam dah tengok contoh kad kahwin yang tunang reka. Pandai pulak dia buat walaupun sebenarnya aku nak simple je tapi kena hargailah usaha tunang kan(Ya Allah mesti awak bersyukur sangat dapat tunang macam saya kan?haha). So sweet la u~~ tolong jangan muntah haha. Proceed dengan design dia jelah.

In addition(tetibe), gift untuk tetamu,pelamin,baju,aksesori,hiasan bilik tidur dan makanan juga telah selesai. Dahtu, ape yang tak siap lagi? Hah,dokumen kebenaran kahwin. Perkara paling penting sekali selain ujian HIV. Test HIV dah lame dah buat hehe semangat kan?

66 hari lagi,insyaAllah...jangan la PRU13 masa tu..kalau ye,memang tak mengundi la aku..Oh! Kahwin lagi penting kan?hahahahahahahahahahaha(gelak tanpa rasa bersalah)

Thursday, March 22, 2012

Row, row, row your boat..

Row, row, row your boat,Gently down the stream.
Merrily, merrily, merrily, merrily,Life is but a dream.

Graduan segar yang baru melangkah ke alam pekerjaan dan masih tidak tahu bagaimana onak duri bergelar orang dewasa yang bekerja. Alam pekerjaan memang menyeronokkan tapi tak se'seronok' alam belajar. Yelah, dapat duit hasil titik peluh sendiri. Bila dah ada duit sendiri, boleh beli macam-macam yang kita nak dan juga tidak lupa mengumpul aset. Masa ni baru merasa, oh susahnya nak hidup di dunia yang fana ini. Tanggungjawab yang semakin banyak menjadikan duit semakin susut. So, tanggungjawab perlu meningkat seiring dengan duit.

Menghitung 71 hari lagi.InsyaAllah.

Thursday, January 26, 2012

Doa Dipermudahkan Urusan dan Hajat

ya Allah ya Tuhan kami,kurniakan kami rahmat dari sisiMu dan berilah petunjuk kepada kami dalam urusan kami dengan segala petunjuk,Mudahkanlah urusan kami ya Allah,permudahkanlah jangan disulitkan kerana Engkaulah yang Maha Memudahkan,segala yang susah adalah mudah bagiMu.ya Allah sempurnakanlah dengan segala kebaikan dengan rahmatMu, ya Allah wahai yang paling mengasihani daripada segala yang mengasihani.

Thursday, January 19, 2012

Sweet 24

Happy Birthday to me~
Happy Birthday to me~
Happy Birthday to me~
Happy Birthday to me~

HAHA nyanyi untuk diri sendiri? Sangatlah Ucop Wilcha diri ini. Yelah,sekarang dah takde siapa nak nyanyikan lagu Happy Birthday Monkey untuk aku. Selalunya arwah ayah nyanyikan tapi tahun ni tak ade dah. Sedih!

Hmmm its OK. Tahun ni, sambut (tapi takde sambutan pon) ulangtahun sebagai tunangan orang. Pencapaian di usia 24 tahun? Lambat sebenarnya sebab target kahwin aku adalah pada usia 23 tahun. Ye, siapalah manusia yang merancang. Hakikatnya Tuhan yang menentukan.

Tahukah anda bahawa mak menjadi isteri orang pada usia 24 Tahun? Jadi anaknya pula bagaimana?HAHA

'Happy Birthday to you..
You were born in the zoo..
With the monkeys and kangaroo..
Happy Birthday to you..'

- Birhday song yang ayah selalu nyanyikan untuk anak-anak. :')


Azam tahun ini adalah menjadi manusia yang lebih baik.cliche no? It is not actually.

Thursday, December 8, 2011

Motivasi Diri

Betapa unsur-unsur negatif telah menular dalam blog ini. Lantaran membaca entry yang ditaip sendiri oleh aku beberapa bulan yang lalu, membuatkan aku terfikir bahawa aku ini bukan insan yang hebat, bukan insan yang terbuka dan positif. Susah mahu menjadi positif, bukan?

Maafkan aku kerana meluahkan apa yang terbuku di hati ini dengan penuh kekecewaan. Keghairahan nak menulis sesuatu yang hebat membuak-buak. Tapi aku tidak hebat. Bagaimana ya? OK belum apa-apa lagi dah menyerah kalah.

Aku hebat. Aku baik. Aku bahagia dengan semua yang aku ada walaupun sebenarnya ia bukan milik aku. Ia milik Tuhanku. Terima kasih Ya Allah.

Friday, November 4, 2011

Buat Yang Tersayang

Apa kes la aku ni. Asal malam je emosi. Asal emosi je malam. Kadang-kadang siang pon emosi juga. Bagaimana bila hidup seorang kelak? Ditinggalkan emak dan adik-adik. Sudahlah ayah sudah tinggalkan aku. Kini ahli keluarga yang lain pulak. Tidak tahukah mereka yang aku ni gila sayang kat famili sendiri? Yelah, siapa yang tak sayang famili sendiri kan? Buktinya, alamat emel ada nama ayahku dan katalaluan pulak ada nama emakku. Bukankah comel? Terpancar kasih sayang aku pada emak dan ayah. Oh adik-adik juga.

Sejak ayah takde ni, aku selalu emo. Bila aku emo, orang sekeliling pasti merasa tempiasnya. Aku garang tahu. Dan sensitif juga. Kadang-kadang aku melampau. Emak, maafkan anakmu ini. Anakmu ini masih tak matang, buta; tak pandai menilai. Betul kata emak, aku belum layak kahwin lagi disebabkan perangai aku ini kerana dikhuatiri akan menjadi isteri derhaka(Nauzubillah mintak jauh sangat-sangat. Aku nak masuk syurga)

Emak, buat kali yang entah keberapa kali ntah, Nur mintak maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki Nur. Halalkan makan minum Nur dan tolong la redha dengan Nur. Nur tahu banyaaaakkk sangat salah Nur kat mak. Nur pon tak tahu kenapa Nur jadi macam ni. Dalam pada Nur buat salah, dalam hati ni mesti terlintas; 'Adibah, kenapa dengan kau ni?' Istighfar banyak dalam hati ni. Nur bukan tak sayang mak tapi Nur tak pandai nak ekspresi kan sayang Nur tu. Lagi pula mak selalu dengan kesayangan mak; sampaikan bila Nur nak cerita, nak komunikasi je, pasti terbantut. Nur tahu mak kena patuh dengan dia tapi Nur ni anak mak. Walaupon Nur dah 23 tahun, Nur tetap anak yang masih perlukan perhatian daripada emaknya.

//Lap keyboard kejap. Airmata masin dah berjuraian atas keyboard
//Hembus hingus dulu.srrreeeeetttttttttt ah lega. Dah la lubang hidung aku kecik. Remaja berusia 23 tahun pon masih berhingus tahu. Ini nama dia remaja hingusan

Sambung balik.

Emak, Nur sayang mak sangat-sangat. Nur nak mak tahu yang Nur tak boleh hidup tanpa mak. Nur tak marah pun bila mak calarkan kereta Nur. Nur cool je. Mak yang gelabah hahaha comel gila. Gantirugi bila nak bayar? *gurau je

Mak nak tahu tak? Sebelum ni Nur tak perasan pun yang mak sangat cantik. Padahal kawan-kawan selalu puji yang mak cantik dan putih dan mereka ada bertanya

'Apehal muka kau tak sama dengan mak kau?'
'Sebab aku ikut muka ayah aku. Ayah aku hensem wa cakap lu..'

Pelik sangat bila kawan-kawan cakap mak cantik tapi dalam hati bangga ni walaupun tak tahu pun tang mana cantiknya mak aku ni haha. Sampai la baru-baru ni, bila dilihat dari atas bas (gila la aku duduk atas bas), dalam ramai-ramai manusia kat situ, maklah yang paling cantik sekali. Terus cakap kat Amin, cantiklah mak! (Patut la ramai yang minat - ni ayat tipu tapi betul)

Sumpah tak seronok sangat raya tahun ni. Raya yang terpaling worst sehingga menjana perangai yang sangat buruk terhadap mak. Ye Nur salah tapi harap sangat mak faham keadaan Nur masa tu. Baru dua minggu ayah pergi time tu, baru sangat. Sedih tahu. Lepas tu aaaahhh malas nak cerita la. Memang tragedi la raya tahun ni. Orang lain bergembira, aku pulak lari dari rumah. Biasalah, emosi tak stabil, sensitif pulak tu. Ditambah lagi dengan garangnya aku time tu. Aku memang taknak jumpa siapa-siapa. Bagi aku itu membebankan. Semacam mereka tidak faham dengan apa yang kami adik beradik sedang tempuhi. Hmm tapi terpaksa la juga membawa muka dan jiwa ini berkunjung ke rumah saudara-mara, jiran tetangga. Jiwa lara, muka blur. Otak aku tak dapat berfungsi dengan betul pada ketika itu. Orang cakap lain aku faham lain maka terjadilah komunikasi dua hala yang tak payah komunikasi pon takpe. Engkau faham tak ni? Engkau orang pasti tak faham.

Dalam keadaan genting begitu, secara tiba-tiba dimarahi emak yang kelam kabut sebab dapat panggilan daripada jiran;nak datang beraya kat rumah. Dengan keadaan rumah yang tidak berapa kemas tapi masih boleh dipuji, mak salahkan aku pulak. Kononnya aku tak tolong dia mengemas dan dituduh pemalas (padahal memang pon tapi time macam tu masih ada mood ke?) Selepas itu berlaku adegan mulut lepas oleh emak lalu aku tersentap! Oh aku sedih sangat masa tu sebab bagi aku itu doa sebab keluar daripada mulut wanita yang paling mulia dalam hidup aku. Aku tak boleh terima bila mak cakap macam tu. Sangat tak boleh. Lantas aku lari dari rumah dengan cara memandu kereta saga ku tanpa hala tuju. Sumpah takde hala tuju. Dengan perut lapar nya sebab aku tak makan pon hari tu tapi mak tahu ke? Ahh lupakan sajalah. 2 jam lepas itu mak pujuk aku suruh balik. Ye aku balik lepas tu sebab aku taknak keruhkan keadaan. Aku ini masih seorang anak dan mak masih seorang emak. Mak sangat berkuasa ke atas aku secara mutlak.

Aku ni pulak cepat lupa orangnya. Cepat sangat terpujuk, dalam erti kata lain, cepat sejuk (cepat marah juga). Malam kejadian, aku boleh pulak bergelak-gelak macam tiada apa yang terjadi petang itu. Aku perasan yang mak terasa dengan aku sebab bila aku cakap, dia macam merajuk. Ye aku salah lagi. Maafkan Nur, mak.

++Kejadian lari dari rumah ini berlaku di kampung belah emakku di Besut, Terengganu. (Sebab tu takde hala tuju kalau tak dah singgah Wangsa Walk dah hahaha tak lawak)

OK. Aku harap sangat mak baca entry aku ni hahaha. Entry yang tulus suci daripada aku yang bernama anak dengan ucapan, I LOVE YOU, MAK!!

I LOVE AYAH TOO. AL-FATIHAH. Rindu Ayah sangat-sangat. Tak boleh dengar lagu For The Rest of My Life nanti aku sedih. Lagu favourite Ayah.

Friday, October 21, 2011

Housemate. Anyone?

Serabut betul rasanya hidup sejak kebelakangan ni. Otak, emosi selalu tak menentu. Otak berfikir, emosi mentafsir. Sedih, pedih, marah, duka, ceria dan macam-macam perasaan bercampur baur, silih berganti. Sekarang, balik dari kerja masih ada mak dan adik beradik menanti di rumah. Kalau lapar, mak ada. Tapi tak lama je lagi mak dan adik adik nak pindah Terengganu. Tak boleh bayangkan macam mana balik rumah, takde orang sambut. Mesti sunyi sangat :(

Ajak Wani duduk sekali, segan katanya. Apelah yang nak disegankan. Aku pon tak paham. Ye, mungkin sebab jauh nak ulang alik dari Gombak-Putrajaya-Gombak setiap hari. Takpelah, aku faham. Takkan nak paksa kot kan. Aku selalu jugak fikir, macam mana nanti ni...Boleh ke aku duduk sorang-sorang, boleh ke aku itu-ini. Mak suruh kahwin tapi entah la. Kahwin? Tak perlulah berharap apa-apa. Kalau anak je yang semangat tapi parents macam tak support, lupakan jelah niat murni kau tu Dibah. Pintu hati tak buka lagi nak terima menantu. Tak tahulah samada tak berkenan atau tak bersedia. Redha je.

Dalam otak duk fikir macam macam ni, mesti teringat kat arwah ayah. Sedih sangat rasa. Sejak ayah pergi, sekali je aku pernah mimpi ayah. Walaupun sekali, dah buat aku rasa gembira sebab dalam mimpi tu ayah senyummmmm je. Pastu ayah lambai tangan kat aku and then ayah pergi. Seronok kan? and sedih :( Aku mimpi ayah masa lepas sahur. Kiranya masa azan subuh camtu. Sebelum sahur tu, aku ada wat solat Tahajjud. Tak sangka mimpi ayah lepas tu. Ayah, Nur rindu ayah sangat-sangat-sangat.

Sejak ayah takde, aku jarang keluar dating. Kalau keluar pon mesti bawak Adib or Amin. Aku takot segala perbuatan aku, ayah yang kena. Ye, memanglah aku takde pegang-pegang dengan dia tapi kalau jumpa je pon dah dosa dah. Aku taknak ayah terseksa dalam kubur disebabkan perbuatan aku. Sedangkan mak ayah ajar aku perlakuan yang baik-baik je. Kalau mesej pon dah kurang lagha-lagha semua T____T Harap aku akan terus istiqamah.

Esok nak balik kampung Jelebu. Nak tengok baby Pakcik and sekali harung bawak balik borang untuk Atok. Banyak lagi hal tak settle lagi pasal harta pusaka ayah. Rasa agak terbeban sebab aku anak sulung. Bukan senang jadi pemegang amanah untuk adik-adik walaupun takdelah banyak pun yang ayah tinggalkan. Susah kan jadi anak sulung ni?huhuhu..

Macam mana lah nanti adoiyai....(mengeluh je aku ni huh)

**Sedih ayah tak sempat merasa naik kereta aku. 2hari lepas ayah pergi baru dapat kereta. Perasaan? Takde! Tak happy. Blurr lagi adalah.